Arkib untuk November 2011

Puisi: Aku, Seorang Khalifah

Pada selapis senja yang kian menipis

aku hanya segumpal daging tua yang tersesat

terlayang-layang di penjuru langit duniawi

memikul jerami dosa yang semakin sarat.

Telah lama kumencari jawapan persoalan

tentang penciptaan dan penghidupan

tentang tujuan dan kewajipan

tentang pilihan dan ketentuan

namun tak setitispun kutemukan

sepanjang langit hitam ini

sepanjang jerami ini kupikuli.

Saat alam ini kurentangi

langit, dataran, lembah dan perbukitan

kutafsir, lalu kutaksir dengan firman-Nya

betapa bencana kejahilan telah lama

dan sungguh, jauh menghanyutkanku.

Senja yang buta semakin lenyap

setelah dekad-dekad usia meringkuk

dalam penjara noda dan nista- tertunduk

mendengar gema azan dan iqamat

bersela beduk waktu yang bertabuh

membidik keping-keping baki hayat.

Dan sebenarnya aku hanyalah

segumpal daging tua yang lama tersesat

bernyawa semula saat disorot hikmah

kembali pulang ke sarang rohaniah

semusim singkat mengeram muhasabah

menetaskan kesedaran dan hakikat

bahawa aku, seorang khalifah.

 -MA-

Mingguan Malaysia

Cerpen: Jangan Bunuh Semut Api

“Qayyum, Qistina. Jangan main jauh-jauh.”

“Baik, Umi!”balas kembar seiras itu serentak. Kedua-duanya berlari keluar dengan girang.

“Ha, satu lagi, jangan nakal-nakal. Jangan bunuh semut api.”Pesan Umi dengan buncah hati sambil mengangkat kain jemuran.

“Baik, Umi!”balas Qistina tatkala menyarung selipar. Manakala Qayyum yang sudah lesap daripada pandangan Umi sedang ralit mengorek tanah.

Terus membaca ‘Cerpen: Jangan Bunuh Semut Api’

Cerpen: Mogadishu Merintih

Satu

Di corong hidungku, sudah tiada lagi tusukan aroma ketupat atau rendang. Tiada lagi wangi sate atau lemang. Fikiranku saat ini bukanlah ruang untuk mengidami jaudah serba mewah dan maha banyak itu. Aidilfitri ini untuk mereka, selayaknya.

Sesekali ingatanku menerpa wajah mulus Abah dan Umi. Kali ini, kali ketiga sudah aku tidak menyambut Syawal di Malaysia. Dua tahun terakhir kursus perubatan terlalu padat sehinggakan aku tidak berpeluang pulang ke tanah air. Aidilfitri kusambut sederhana di Moscow bersama teman-teman.

Walaupun jauh di mata tapi, di hati tetap dekat. Demikian ucapan syahdu Umi saat kami berhubung melalui Skype. Sebak juga terasa hati, mengenangkan keluarga dan saudara-mara yang  jauh di mata dan dua tahun lamanya tidak bersua muka.

“Tahun ini kau tak beraya di Malaysia lagi?”Suara Umi menerobosi kotak perasaanku.

Aku hanya mampu mengangguk sayu. Wajah kecewa Umi jelas terpapar di skrin komputer.

“Umi, Jam ke sana bawa misi, misi besar.”Ucapku mengharap Umi mengerti dan merestui.

“Jam, sudah tiga tahun kita tak beraya bersama. Semua di sini rindukan kamu.”

Aku jadi sebak serta-merta. Air mata ini kutahan, bersama perasaan yang sendu.

“Umi, Insya-Allah, kalau misi ini berjaya, 5 Syawal nanti Azzam pulang ke Malaysia. Umi doakan Azzam ya!”Aku cuba mententeramkan perasaan Umi yang bergalauan.

“Ya, Umi dan Abah doakan keselamatanmu dan rakan-rakan. Jangan tinggal solat. Jaga diri baik-baik ya, Jam!”Kata-kata Umi meruntun perasaanku.

Umi seorang yang memahami, sama seperti Abah. Syukur, Alhamdulillah.

  Terus membaca ‘Cerpen: Mogadishu Merintih’