Cerpen: Armada

Satu

Hari itu, sebuah kapal besar mendarat di dermaga negeri kami. Dermaga tempat perdagangan merentasi lautan berlangsung.

“Wooo!”

Semuanya tercengang. Ada yang sampai ternganga. Belum pernah lagi kapal sebesar itu berlabuh di negeri kami ini. Melihatkan tubuh kapal yang maha besar itu, sudah tentulah saiz barang dagangnya dasyat-dasyat belaka.

Syahbandar juga masih tercengang, “Gerangan siapa? Dari mana?”

Para nelayan yang baru berlabuh dari segara kehairan-hairanan. Mereka terus memerhati.

Seorang lelaki di atas kapal itu meniup trompet. Anak-anak kapal bersorakan, semacam sedang berlangsung satu pesta meraikan kejayaan besar.

“Kami sudah tiba. Pasti anda semua sudah lama menanti ketibaan kami.”

“Hei, siapa kalian? Apa hajatnya berlabuh dengan bahtera sebesar raksasa ini?” Seorang nelayan separuh menjerit.

Sebuah tangga dilungsurkan ke dermaga, barangkali laluan untuk mereka turun dari kapal.

“Ke tepi, ketepi,” jerit peniup trompet itu. Suaranya berirama angkuh, umpama dialah tuan empunya tanah negeri kami ini.

Syahbandar ditolak-tolak ke belakang. Para nelayan terundur beberapa langkah.

Seorang Syahbandar yang sudah terjelepok berdiri semula dan berteriak, “Berhenti! Kalian mahu menjajah bukan?”

“Bukan. Kami datang mahu menyebarkan kemajuan kepada kalian.”

“Dengan kapal sebesar ini?”

“Ya. Kemajuan itu seperti apa yang dapat kalian lihat. Apa yang tampak besar dan hebat, itulah disebut kemajuan.”

Peniup trompet kembali beraksi dengan melodi entah ragam apa bunyinya, menyakitkan telinga.

“Lihat! Lihat! Lihat!”

Anak-anak kapal turun mengusung kotak-kotak gergasi. Ada yang mengusung sendirian. Ada yang mengusung berempat.

Gamamlah sekalian penduduk dan golongan marhaen melihatkan tindakan armada berkulit putih itu.

“Barang apakah yang diusung dari jauh ke mari?”

Dua

Dahulu, sekelip mata sahaja negeri kami bertukar rusuh seperti dilanda ribut taufan. Sejak itu, wujudlah tiga golongan. Pertamanya, golongan yang menyokong kerancuan yang dibawa oleh armada kapal itu. Kedua, golongan yang menentang kebatilan. Dan yang ketiga, golongan yang mengambil jalan tengah iaitu golongan diam.

Golongan pertama: Ah, persetankan perkara-perkara lain! Kita ini kalau mahu maju ke depan, harus ikut gaya mereka. Teknologi. Bangunan tinggi. Fesyen. Hiburan. Itu definisi kemajuan. Semata-mata. Itu saja.

Golongan kedua: Adakah lahiriah telah membutakan jiwa kalian? Tuhan telah menjadikan kita ini berakal dan tinggi darjatnya berbanding makhluk lain di muka bumi. Mengapa sanggup diletak serendahnya?

Golongan ketiga: Kami diam saja, barangkali itu lebih baik.

Selama beberapa purnama juga, rakyat di negeri kami berselisih faham dan bertikam mulut.

Bagaimana harus saya ceritakan?

Semenjak kedatangan armada itu, dunia kami langsung berubah. Setiap rumah diberikan sebuah tv percuma. Kemudian, aerial tv dipantak ke bumbung, menghala ke sebuah menara besi yang sedang dibina di atas gunung. Semua itu tidak saya jangkakan.

Setiap anak muda di kampung kami diberikan mp5 dan ps5, percuma juga. Saya tidak pernah melihat atau menyentuh barang-barang seumpamanya, tentulah saya juga jakun jadinya.

Begitulah bermulanya kehanyutan muda-mudi di negeri kami.

Saf-saf di masjid semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Mereka tidak lagi menyahut seru azan yang berkumandang. Bagaimanakah mereka boleh mendengar lagi panggilan menuju solat dan seruan menuju kejayaan tatkala lubang telinga mereka disumbat dengan bebola kecil berwayar itu? Alangkah menyedihkan, sepanjang masa mereka menonton hiburan melalaikan yang dihidang tv tanpa menghiraukan apa-apa lagi.

Banyaklah pula ujibakat nyanyian diadakan di seluruh pelosok negeri. Khabarnya, untuk melahirkan pelapis penyanyi daripada generasi sekecil-kecil bayi hinggalah sebesar-besar remaja. Diuar-uarkan kalau kami bergelar penyanyi, kami boleh segera meraih populariti. Bahkan, hadiah yang ditawarkan membuatkan kami menelan liur berkali-kali!

Golongan kedua beristighfar lantas mengulang-ulang, “Hedonisme. Hedonisme. Hedonisme.”

“Ustaz Afham, mohon jelaskan, bukankah berhibur itu harus hukumnya?”

Tiga

Tidak terkata. Saya membayangkan  keadaan negeri ini untuk sepuluh tahun akan datang. Negeri ini umpama sebuah kilang melahirkan ribuan penyanyi dan penghibur. Bahkan bilangan mereka lebih ramai berbanding bilangan doktor, pendidik, jurutera, pedagang atau apa-apa sahaja kerjaya selain penghibur.

Kata-kata lelaki ketua armada itu masih berdengung-dengung di telinga saya. Saat itu, dia mendakwa kedatangan mereka adalah untuk mendedahkan kepada kami erti kemajuan. Saya tertanya-tanya, benarkah kami ketinggalan zaman? Mereka menghadiahkan kami tv berserta aerial, membina menara siaran, lantas menyiarkan segala budaya mereka yang bobrok kepada anak-anak muda di negeri kami. Adakah itu sebenar-benar kemajuan?

Ah, ternyata selama ini, hadiah-hadiah itu hanyalah selimut untuk menyembunyikan dogma mereka! Dogma hedonisme itu benar-benar telah merosakkan pemuda-pemudi kami. Pemuda-pemudi yang akan memimpin negeri ini suatu hari nanti sedang mereka hanyut diapungkan arus hiburan.

Madrasah terus sepi. Masjid terus lengang.

Golongan kedua tetap berjuang, “Anak muda kita. Mereka sedang lemas, mereka sedang lemas. Saya tidak sanggup melihat negeri ini tenggelam. Saya tidak akan biarkan.”

Ustaz Afham menghuraikan seperti biasa, “Iya, berhibur itu hukum asalnya harus selagi…”

“Selagi?”

“Selagi tujuannya untuk kebaikan dan liriknya tidak melalaikan atau tidak bercanggah dengan hukum syarak. Selagi tidak bercampur lelaki dan perempuan hingga timbulnya fitnah. Juga, selagi tempat dan gaya persembahannya tidak mengundang maksiat. Moga-moga kalian jelas.”

Para jemaah diam, mendengar penuh khusyuk.

Ada beberapa persoalan yang masih berlegar-legar di ruang fikir saya. Ketika anasir hedonisme ini menguasai rancangan tv, maka adakah suara kami ini akan didengari? Seterusnya, saat itu adakah kami hanya mampu melontar maki? Saya mengajukan pertanyaan kepada Ustaz Afham, lalu mualim yang kami hormati ini menerangkan penuh hikmah.

“Pemuda itu suaranya didengari. Tenaga pemuda itu kehebatannya luarbiasa. Kata Soekarno – berikan aku sepuluh pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia. Namun, teramat menyedihkan kala ini, ramai anak-anak muda muda sedang terkinja-kinja berhibur. Begitu ramai yang hilang cinta pada ilmu fardu ain. Begitu juga pada ilmu fardu kifayah. Mereka sedang asyik dijajah hiburan.”

Kami para jemaah tunduk. Kami sayu dan kami malu kerana memikirkan betapa kami yang lemah ini tidak berbuat apa-apa.

Empat

Tv tidak salah. Yang bersalah adalah manusia sendiri. Manusia yang menggunakan tv untuk menghidang perkara yang salah. Demikian bicara Ustaz Afham melekat hebat di kalbu kami.

Senja itu, kami semua warga negeri ini; tanpa mengira golongan pertama, kedua atau ketiga bergegas ke dermaga sebaik sahaja mendengar khabar kapal yang sama akan datang lagi. Saya berjanji tidak akan membiarkan armada itu menyerang dengan senjata hedonisme buat kali kedua.

Golongan pertama berkata buat pertama kalinya, “Kami sudah tengadah, selepas terhantuk.”

“Apakah yang telah membuatkan kalian terhantuk?”

“Ternyata serangan hedonisme itu lebih mengancam. Meskipun rating penonton rancangan yang kami siarkan meningkat naik, kami mula menyedari bahawa nilai Islam dan ketimuran di negeri ini semakin merudum jatuh.”

Langit begitu legam. Sehitam daki-daki hedonisme yang berdanur di negeri kami. Angin pasat menderu-deru. Petanda.

Tiba-tiba, seorang pemuda entah dari mana berlari-lari anak datang menerkam kami.

“Karam. Karam. Kapal mereka karam,” terpa lelaki itu.

Taufan membadai hebat. Gelombang mengamuk. Tiang layarnya patah tiga dan serentak itu tendanya merabak. Dek dan geladak ranap lalu sebahagiannya hancur. Kapal itu akhirnya karam ke dasar lautan.

Begitulah juga keadaannya di daratan negeri kami. Menara siaran tumbang. Siaran tergendala. Aerial tv rebah ke tanah ditampar angin. Tv pula terbakar disambar petir.

Dalam ribut dan deru hujan musim tengkujuh itu, kami merebahkan tubuh kerdil kami ke lantai dermaga, memohon taubat pada yang Maha Kuasa dan bersujud syukur.

-MA-

Utusan Melayu Mingguan


Advertisements

2 Responses to “Cerpen: Armada”


  1. 1 Mohd Helmi Ahmad Januari 17, 2012 at 8:40 am

    Tahniah ya saudara Muzaf. Semoga lebih berjaya pada tahun 2012 ini. Saya sudah baca cerpen ini. Baik sekali.

  2. 2 muzaf ahmad Januari 21, 2012 at 1:53 pm

    Salam. Terima kasih tuan kerana menjadi tetamu setia blog kecil saya ini


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s





%d bloggers like this: