Arkib untuk Ogos 2012

Buah Tangan GKLN: Dandelion, Trem Ke Pintu Syurga & Sasterawanara Keraton

“Dandelion” adalah satu antologi puisi yang mengumpulkan penulis-penulis muda Luar Negara daripada pelbagai latar dalam satu wadah dengan puisi berunsur Islam yang merangkumi tema segenap kehidupan seperti dakwah dan tarbiyah, sejarah dan ketamadunan Islam, aspek perjuangan menegakkan syiar Islam, kritikan sosial dan sikap umat Islam, kocak politik dan ekonomi negara-negara Islam,  selari dengan kesyumulan Islam itu sendiri.
**
“Tram ke Pintu Syurga” merupakan sebuah antologi cerpen yang mengangkat tema latar luar negara dengan rencaman persoalan yang dijulang sebagai tunjang setiap cerpen. Antaranya adalah isu kemanusiaan, intifada Palestin, keagamaan, sanggahan sosial dan politik, sejarah dan sebagainya . Antologi ini membawa khalayak pembaca mengembara dengan pelbagai latar luar negara yang menarik seperti Selat Gibraltar, Philadelphia dan Dublin. Meskipun ada latar yang sama diangkat oleh beberapa penulis berbeza namun sudut pandang yang berlainan ditampilkan pengarang menjadikan latar tersebut tetap enak untuk dihadam pembaca.
**
33 Puisi Kembara Sasterawanara Keraton (SK) menghimpunkan 33 karangan puisi Hazwan Ariff Hakimi. Penyair dari jurusan senibina di University of Nottingham, UK ini membuktikan bahawa beliau mampu menguasai bidang kepenyairan meskipun tidak mendapat pendidikan formal dalam lapangan penulisan kreatif. Bakat anak muda ini terserlah apabila beliau mampu membina gaya peribadi (idiosinkrasi) tersendiri seawal usia kepenyairannya. SK bukan sekadar himpunan lontaran pemikiran dan suara batin penyair, malah menjadi bahan dokumentasi bagi mengenali gaya kepengarangan penyair ini dari sudut stilistik.
**

Cerpen saya yang berjudul “Tenda Harapan” dimuatkan dalam antologi “Trem ke Pintu Syurga” dan dua buah puisi iaitu “Penonton Teater” dan “Mengetuk Simpati Langit” pula dimuatkan dalam antologi Dandelion. Insya-Allah, banyak mesej terkandung dalam buah tangan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) ini. Semoga ada manfaatnya buat ummah, walaupun sekecil hama.Dapatkan karya-karya ini di sini!

Advertisements