Arkib untuk Februari 2013

Puisi: Ucapan

Ucapan apakah

yang paling cocok buatmu;

duhai penghidang montok

sejak sekian lama kaulewati

meja kecil kami bersama juadah lazat.

 

Setiap kali kaudatang

dengan sesosok segak

legar pandang

dan tingkir senyum, kami

sering tercium harum aroma

yang menggoda semesranya.

 

Aduhai betapa

gelojoh kami menelan bicaramu

kalanya tercekik di rengkung

sesudah pinggan demi pinggan

kauhidangi lagi dan kami, masih murba

yang setia merai, dengan nafsu haiwani.

 

Tapi maaf sekali

sesudah bermusim diracuni

jangan ditanya lagi pesan

atau lewat menabur ihsan

kerana harus kauketahui

secawan sogokmu yang berpual

dan semangkuk egomu yang mual

tak sesekali mampu kami bayar

dengan harga sebuah maruah.

 

 

Muzaf Ahmad

Yokohama, Jepun

25-5-2012

 Tunas Cipta, Oktober 2012