Arkib untuk November 2013

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2012

hsku 2012

Alhamdulillah, syukur. Cerpen Kanibal Hutan Seberang nukilan saya lewat tahun 2012 dipilih sebagai salah satu karya yang memenangi HSKU 2012. Cerpen ini memenangi hadiah penghargaan dalam Kategori Cerpen. Ilham menulis cerpen ini bergulir dalam fikiran ketika dalam kelas gengo-bunka-ron (Teori Bahasa dan Budaya), Profesor De Wolf. Hadiah ini merupakan penghargaan buat karya ini dan semoga ia bermanfaat buat para pembaca.

Cerpen lain saya yang bertajuk Sayangku, Dondang Sayang pula telah tersenarai sebagai 16 cerpen peringkat akhir untuk Kategori Cerpen Remaja. Senarai karya yang layak ke penilaian peringkat akhir untuk semua kategori HSKU 2012 boleh dilihat di blog abang penulis yang dikagumi Mohd Helmi Ahmad yang memenangi Kategori Cerpen Remaja dengan cerpennya Rombongan Masuk Jawi.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Mawar Shafie (beliau turut memenangi kategori sama- Cerpen Antara Tikungan yang Aneh) yang banyak mencurahkan ilmu penulisan di ruangan cerpen di Dewan Siswa, keluarga yang cukup menyokong serta sahabat-sahabat penulis GKLN dan bukan GKLN yang sentiasa memberikan inspirasi.

Sama-sama kita terus menulis perkara yang baik dan bermanfaat buat ummah. Insya-Allah.

Advertisements

Kisah Sahabat: Huzaifah R.A

Huzaifah R.A adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dengan gelaran “Pemegang Rahsia Rasulullah SAW”. Dia diberi gelaran demikian kerana Rasulullah SAW telah memberitahukan kepadanya senarai nama-nama orang munafik pada masa itu.

Dikatakan dalam suatu riwayat bahawa Rasulullah SAW telah memberitahukan kepada Huzaifah R.A bila tiba saatnya orang-orang Islam menghadapi zaman fitnah (hal-hal yang menyesatkan) yang akan terjadi sehingga hari Kiamat. Rasulullah SAW juga memberitahu senarai nama orang-orang yang menyesatkan itu dengan terperinci, termasuk nama orang tuanya, tempat tinggalnya, kabilahnya dsb, yang jumlahnya seramai 300 orang.

Huzaifah R.A meriwayatkan, “Orang lain sering menanyakan hal-hal baik kepada Rasulullah SAW, sedangkan aku sering bertanya tentang hal-hal yang buruk, supaya aku dapat menghindarinya”.

Huzaifah R.A juga meriwayatkan perbincangan dengan Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah kami akan kembali kepada kejahatan setelah enhgkau membawa kebaikan kepada kami?”

Rasulullah SAW menjawab, “Ya, memang benar, kejahatan itu akan datang.”

Huzaifah R.A bertanya lagi, “Apakah kami akan memperoleh kebaikan sekali lagi setelah datangnya kejahatan itu?”

Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Huzaifah! Pergilah, kamu bacalah Al-Quran, renunglah makna-maknanya dan ikutilah segala suruhan-suruhannya.”

Kerana terdorong ingin tahu, beliau meneruskan beberapa pertanyaan lagi mengenai kejahatan yang akan menimpa kaum muslimin.

Kata Huzaifah R.A lagi, “Wahai Rasulullah! Terangkanlah kepadaku apakah kebaikan akan datang lagi setelah datang kejahatan itu?”

Rasulullah SAW bersabda, “Ya benar, kebaikan itu akan muncul kembali, tetapi hati-hatilah kerana manusia tidak akan merasakannya dengan jelas seperti sebelumnya.”

Huzaifah R.A bertanya lagi, “Dan apakah kejahatan akan datang lagi setelah kebaikan itu?”

Rasulullah SAW menjawab, “Ya, memang benar, akan ada orang-orang yang menyesatkan manusia dan menjerumuskan kedalam neraka.”

Huzaifah R.A bertanya lagi, “Apakah yang harus aku lakukan, sekiranya aku berada pada zaman itu?”

Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya ada sekumpulan orang Islam yang bersatu dibawah pimpinan seorang AMIR, maka sertailah mereka, kalau tidak, jauhlah dirimu dari semua golongan yang berselisih dengan sesama mereka dengan mengasingkan diri atau mencari perlindungan dibawah akar sebatang pohon dan diamlah disitu sehingga kamu meninggal dunia.”

[Dipetik dari Kisah Para Sahabat didalam Kitab Fadhail Aamal]