Arkib untuk Mac 2014

Buku: Pelangi Dakwah

PD

Alhamdulillah, perkongsian kecil saya yang bertajuk “Sonata Tarbiyah di bumi Jepun” di dalam buku Pelangi Dakwah terbitan Iman Publication. Boleh dapatkan buku ini di Iman Shoppe. Sedikit cebisan titipan daripada  buku ini:

Ramai orang kenal Superman, Batman, Spiderman, Ironman, Ultraman dan banyak lagi man-man yang lain. Namun, kisah dan pengalaman mereka hanya sekadar rekaan yang tidak mungkin akan dapat dijadikan teladan. Kata orang pengalaman merupakan guru terbaik dalam sebuah kehidupan, maka pengalaman dikongsi bukan untuk mencari nama tetapi sebagai batu loncatan untuk menjadi yang terbaik di sisi Tuhan.

Pengalaman yang indah tatkala disapa hidayah Allah;

“Akhirnya, adik itu merangkak sendiri mencari jalan ke arah Islam dan iman.Betapa indahnya saat dia disambut penuh kehangatan cinta dan kasih sayang oleh teman baiknya dan kakak-kakak yang tidak pernah jemu mengajaknya sebelum ini. Apabila dia menyangka tidak ada lagi ruang untuknya, rupanya terbuka luas sebuah rentang kehidupan baru yang terlalu indah dan penuh kemanisan.Itulah kehidupan tarbiah.”

“Semakin saya baca al-Quran, semakin saya faham tentang setiap apa yang ada di sekeliling.Tentang perjalanan hidup.Tentang kehidupan abadi selepas mati.Tuhan itu ada.Dan hidup saya lebih bermakna sekarang.Alangkah baiknya, jika saya memeluk Islam lebih awal lagi.”

Pengalaman yang perit tatkala difitnah;

“Kami juga sering kali dilabelkan sebagai kurang bersosial. Jarang bersama masyarakat.Sedih.Padahal kami bukanlah seperti yang diperkatakan. Mungkin sahaja kerana kami sering kali meluangkan masa dengan usrah dan program-program tarbiah yang lain. Namun ini merupakan satu peringatan buat kami agar selalu berusaha mendekati masyarakat., Yang pasti, kami tidak mahu menjadi fitnah untuk dakwah.”

“Penggerak kegiatan subversif yang mahu menjatuhkan kerajaan! Usaha bawah tanah menghasut pelajar supaya mengkafirkan pemerintah! Ajaran sesat yang kerap berbincang senyap-senyap dalam gelap malam!”

Semoga pengalaman mereka dalam dakwah dan tarbiah lebih menguatkan setiap langkah dan semakin yakin dengan janji Allah.

“Apabila kita berusaha mendekatkan diri kepada Allah, pastinya jalan keluar menanti di balik setiap rintangan. Allah tidak mahu memberi beban, tetapi ingin mengajar erti sebuah perubahan.”

Semoga bermanfaat buat semua 🙂

Advertisements

Antologi Puisi: Kota Tulip

Image

Antologi puisi ini memuatkan 68 puisi yang ditulis oleh 17 penulis Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang pernah diterbitkan di media tempatan dan ada yang memenangi sayembara penulisan. Antologi ini hampir keseluruhannya bertemakan ketuhanan kerana menjurus ke arah mengagungkan Tuhan, kembara ke arah-Nya, mencari keredaan Tuhan, persaudaraan dan ukhuwah kerana-Nya dan seumpamanya.

Antologi ini berbeza daripada yang lain kerana penulis-penulis muda ini mempunyai pengalaman di luar negara dalam jangka masa lama, oleh itu puisi yang dihasilkan mereka dilandasi rona, bahasa dan nada yang berlatarbelakangkan tempat-tempat yang dihuni, dilawati, atau dilihat mereka di luar negara. Kekuatan antologi ini terletak pada bahasa dan pemilihan diksi yang tepat dalam sebahagian besar puisi yang dimuatkan.