Arkib untuk Mac 2015

Review buku “Jaulah Sampai Syurga” oleh Rasydan Fitri

★★★★
oleh: Rasydan Fitri
dipetik dari laman goodreads: https://www.goodreads.com/author/show/6518317.Rasydan_Fitri

Mudah didekati pelbagai golongan pembaca. Sedikit berulang dari segi mesej dalam sesetengah puisi, lebih kuat jika disusun dengan pemilihan puisi yang paling kuat di antara puisi dalam tema yang sama, contohnya puisi-puisi Cikgu Gaza yang berputar dalam tema dan persoalan yang hampir sama. Jika diteliti dengan lebih baik pasti lebih berkesan mesejnya.

Selain aspek tersebut, kumpulan puisi sulung Muzaf Ahmad sangat unik dan bermutu, terbukti juga pengucapan nada dan kosa kata Jepunnya yang terselit pada puisi-puisi ukhuwahnya. Puisi ukhuwahnya benar-benar dapat dirasakan kejujurannya, malah universal bukan perlu melawat atau berada di sana untuk merasai nasihat yang dikemukakannya.

Antara yang menarik dalam kumpulan puisi ini adalah Jaulah Sampai Syurga, Wuduk, Para Pembeli Firasat dan Cikgu Gaza.

Review buku “Jaulah Sampai Syurga” oleh Dr. Rem Dambul

★★★★★ 
oleh: Dr. Rem Dambul
dipetik dari laman goodreads: https://www.goodreads.com/user/show/15795403-rem-dambul


Setelah begitu lama tertangguh, akhirnya saya selesai membaca buku kumpulan puisi seorang pengembara muda di Negara Matahari Terbit. Saya sangat menyukai kumpulan ini kerana ia menunjukkan kekuatan penyair muda ini yang versatail. Muzaf boleh berpuisi dengan indah dalam sajak-sajak yang mengungkap perasaan dalaman; dan beliau juga mampu menzahirkan dengan baik sajak-sajak tentang isu semasa. Pengungkapannya jelas dan kuat, naratifnya kemas dan beliau juga mampu menjelmakan ‘sentapan’ dan ‘tikaman’ yang sesekali diselit dalam kelembutan bahasanya.

Cuma ada beberapa puisinya yang saya fikir terlalu berahi dengan metafora, hingga sedikit hilang kawalan. Misalnya dalam puisi ‘Di Bawah Kubah Camii’ (m.s 12-13). Frasa metaforik berikut dapat dikesan:

– sepinggan janji-Mu
– asap jahili
– deru manusiawi
– kabus duniawi
– kampung ukhrawi
– sekebun rindu

Dalam puisi sependek itu, hampir seluruh sfera penting bumi (dari hidrosfera, biosfera sampai litosfera) terheret dalam permainan personafikasi lingustik. Pada hemat saya, penyair yang mempunyai daya-ungkap yang kuat dan jitu seperti Muzaf, tidak perlulah terlalu terdesak menancap nilai puitis dengan gaya lama begini.

Tetapi keseluruhan puisinya begitu membekas; dan saya sangat suka kerana setiap puisi disertakan tarikh dan lokasi. Ini memberi konteks dan roh yang lebih bermakna kepada puisi-puisinya. Sedar atau tidak, ungkapan dalam puisi selalu terikat kuat kepada persekitaran di mana ia tercipta, dan pembaca yang cermat akan dapat merasakannya. Sebagai misalnya; ada banyak puisi dalam kumpulan ini mengangkat citra perjuangan berdarah di Timur Tengah. Tetapi ia disampaikan dengan kata-kata yang dingin dan tidak terlalu garang. Barangkali kerana ia diciptakan di Jepun yang dilingkungi hawa sederhana.