Arkib untuk November 2015

Senarai Penuh Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014)

 

Kategori A

Novel – Nenek – Razali Endut (ITBM)

Kumpulan Cerpen – Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim – Malim Ghozali Pk (DBP)

Kumpulan Puisi – Jaulah Sampai Syurga – Muzaf Ahmad (Karyawan Publishing House)

Kajian Sastera – Oksidentalisme dalam Novel Melayu Sebelum Merdeka Hingga Era Mahathir – Dr. Saleeh Rahamad (ITBM)

Biografi/Autobiografi – Biografi Ishak Shaari Pejuang Bumi Semua Manusia – Dr. Mohamed Salleh Lamry (Penerbit UKM)

Kategori C

Novel Remaja – Gerbang Raudhah – Rohaidah Yon ( Koperasi DBP)

Kumpulan Cerpen Remaja – Tetamu Istimewa – Mohd Helmi Ahmad (ITBM)

Kumpulan Puisi Remaja – Mimpi Kotaku – Hilmi Rindu (ITBM)

Novel Kanak-kanak – Rahsia Dhia – Zainun Mustapha (Koperasi DBP)

Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Sakura – Mahaya Mohd Yassin (DBP)

Buku Bergambar Kanak-kanak – Di Mana Sebelah Lagi – Razisatul Asyifah Ismail (Cerdik Publication)

Kategori B

Cerpen Eceran

1. Al-Kisah Ratu Kebaya dan Walhal Naga – Zainal Rashid Ahmad (Berita Minggu, 14 September 2014)

2. Hingyaku – Ratna Laila Shahidin (Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014)

3. Bara Sang Suri – Zaniffa Azzura Abdullah (Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014)

4. Infithaar di Taman Salju – Mawar Shafei (Berita Minggu, 3 Ogos 2014)

5. Selimut – Maskiah Haji Masrom (Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014)

6. Delusisma 2.0 (Denggi) – Fahd Razy (Mingguan Malaysia)

7. Psiko – Fudzail (Mingguan Malaysia, 16 Jun 2014)

8. Pesanku Pada Hujan – Malim Ghozali Pk (13 Julai 2014)

9. Seru – Jais Sahok (Dewan Sastera, Mei 2014)

10. Cekur – Lee Keok Chih (Dewan Sastera, September 2014)

Puisi Eceran

1. Membaca Aksara (Buat Profesor Siti Chamamah) – Muhammad Haji Salleh (Dewan Masyarakat, Julai 2014)

2. Al-Kisah, Di Negara yang Memansuhkan Bahasa – Muhammad Haji Salleh (Antologi Puisi Nyala Api dalam Dada, ITBM 2014)

3. Kepada Perempuan Laut – Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera, Mei 2014)

4. Rezeki Bumi -Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera)

5. Perkebunan Budaya Melayu – Basri Abdilah

6. Di Padang Sarjana- Tuah Sujana (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014)

7. Tigris -Rosli K. Matari (Jendela Timur, Ogos 2014)

8. Dari Mimbar Shinjuku (dedikasi buat anakanda) – Syafiq Zulakifli (Mingguan Malaysia, 30 November 2014)

9. Mencari Jernih – Shapiai Mohammad Ramly (Antologi Puisi Cerita Alam Gelora Hujung Benua, DBP Wilayah Selatan)

10. Kalaulah Papa Memukulmu, Adib – Rahimidin Zahari (Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014)

Esei/Kritikan Sastera

1. Penciptaan Drama Metasejarah Suatu Hasil Eksperimental – Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)

2. Menilai Semula Makna Ekstetik – Prof Madya Dr. A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)

3. Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan – Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)

4. Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Prespektif Budaya -Dr. Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)

5. Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi yang Ditangguhkan – Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)

6. Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial) – Prof Emeritus Dato’ Ahmad Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

7. Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: Sastera Sebagai Budaya Tinggi -S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

Liputan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014) di Berita Harian

KUALA LUMPUR: Novel Nenek karya Razali Endun dan kumpulan cerpen Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim oleh Mohamed Ghozali Abdul Rashid mengungguli Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014). Kemenangan itu membolehkan Razali dan Mohamed Ghozali masing-masing meraih hadiah bernilai RM10,000.
Terus membaca ‘Liputan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014) di Berita Harian’

Tempahan Buku Jaulah Sampai Syurga & Syahid ke Syurga

gambar promo tempahan buku

Alhamdulillah, November ini ada kejutan buat buku pertama saya, Kumpulan Puisi Jaulah Sampai Syurga. 25 November ini.

Insyaallah, dalam masa terdekat, Kumpulan Puisi Jaulah Sampai Syurga akan masuk cetakan ke-3 dan buku kedua saya, Kumpulan Cerpen Syahid ke Syurga cetakan pertama akan muncul.

Untuk tempahan, isi borang di bawah.
https://docs.google.com/…/1fmHmCAwb4dC1u8Sn3BEcw8L…/viewform

 

Puisi ‘Jaulah Sampai Syurga’ pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2014

jss

Jaulah Sampai Syurga

sahabat,
kita lahir dari tanah berbeza
tetapi dari sekepal salju ini,
segala sempadan akan mencair –
kerana kita telah berjanji 
berjaulah sampai ke syurga abadi
telah kita berjanji 
untuk mencari reda Ilahi.

beginilah perjalanan jaulah
merentas ratus ribu sempadan 
dinasti dan waktu 
laut dan benua
ribut dan salju –
di kepala Takao atau dahi Jingshan
kita adalah degup roh 
yang berdenyut dalam jasad ummah
lalu hati kita terserap ke langit 
menggugurkan huruf-huruf iman
dan putih kalimah syahadah.

hari-hari Hachioji bersamamu sahabat,
salju di luar tingkap semakin melebat
di sini walau kita terkandas
tetap kita menongkah gigil
jangan dipeduli ribut gelisah yang membuas 
kerana hangat ukhuwah akan segera meredakan.

bibir tidak perlu berbicara 
bukankah jiwa-jiwa kita lebih merasa –
cukuplah selengkung senyum 
dan setentang mata 
itulah yang mengucapkan segalanya
dan percayalah sahabat,
waktu, benua dan salju adalah sempadan
yang tidak pernah memisahkan 
kerana kita telah lama berjanji
bertemu dan berpisah kerana Ilahi.

Takao, Hachioji
Februari 2014

*****

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t.

Tiadalah daya dan upaya saya. Masih teringat detik saya menulis puisi Jaulah Sampai Syurga sekitar awal tahun 2014.
Entah mengapa musim sejuk Disember 2013 – Februari 2014 begitu menerkam. Program Fuyu Gathering 2013 anjuran persatuan AMIR, jaulah ikhwah dari China, dan pelbagai peristiwa begitu menghangatkan jiwa yang hampir-hampir membeku dengan tarikan keduniaan.

permintaan akh Hafizan sewaktu kami berpisah di Shibuya: “tulis sajak satu..”

Sebenarnya saya jarang menulis, melainkan ada sesuatu yang ingin saya kongsikan atau jika ada kenalan yang meminta saya menulis sesuatu. Begitulah cara saya menulis. Ia akan terbit dari rasa yang mengalir. Kadangkala akan mengalir sederas-derasnya.

Alhamdulillah, tidak sangka tiga karya saya sepanjang 2014 tersaring ke peringkat akhir setelah ditapis panel hakim:

  1. Cerpen: INDRASYAWAL, Mingguan Malaysia (3 Ogos 2014)
  2. Puisi: Biarkan Danbo Terpadam, Mingguan Malaysia (26 Jan 2014)
  3. Puisi: Jaulah Sampai Syurga, Mingguan Malaysia (7 September 2014)

Dan dengan izin Allah, puisi Jaulah Sampai Syurga telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2014 kategori puisi eceran. Terima kasih buat panel hakim yang sudi menilai kesemua karya-karya ini. Semoga puisi ini terus memberikan semangat yang tinggi untuk diri saya sendiri dan ikhwah akhwat sekalian untuk terus berjuang di jalan dakwah dan tarbiah yang panjang dan berliku ini. Terima kasih buat sahabat-sahabat dan murabbi yang selalu mendoakan yang terbaik. Semoga kita terus tsabat di jalan ini.

Fakta tentang puisi Jaulah Sampai Syurga:
1. Puisi ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun (Tengoku e no michinori) dan bahasa Mandarin (Luyou Dao Tiantang).
2.  Puisi ini menjadi tajuk buku kumpulan puisi yang diterbitkan pada November 2014.