Archive for the 'perkongsian' Category

titik.png

Advertisements

Puisi Jendela Menuju Tuhan

2) jendela

Puisi Wuduk

1) puisi wuduk

Promosi Buku Muzaf Ahmad

promosi

[Promosi]

Hanya RM30 untuk kedua-dua buah buku Jaulah Sampai Syurga dan Syahid ke Syurga, termasuk pos.

Untuk pesanan, hubungi whatsapp: +818047259105

 

Puisi “Denting Waktu” Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015

Denting Waktu

Seorang lelaki termanggu dan menunggu
di atas kerusi, di meja sebuah kedai kopi
di pekan ini, riuh suara tidak diendahkan lagi
dia sekadar menunggu denting waktu –
berharap diberi sepasang sayap di bahu.

Sepanjang hayatnya
musim demi musim mengubah
wajahnya, sosoknya, suaranya
sehingga dia sendiri tak menyedari
dia semakin tua dari sehari ke sehari
tetap dia menunggu angka Orloj di menara
tepat jam 12 malam untuk dia menutupkan mata
atau tepat 6 pagi untuk dia celik kembali.

Bagaimanakah dia boleh
mengukur waktu yang berlalu?
atau detik yang hilang terbuang?
itulah kali pertama dia merenung
ke dalam jiwa. Dia telah berguling dan lumat
dalam putaran waktu. Bertahun lamanya
dia terasa sesat di ruang semesta. Bukan –
sebenarnya, dia hanya tersesat dalam rimba diri
mencari makna kehidupan hakiki.

Dalam denting waktu
dia bangkit dari kerusi dan sedari
ruang waktu ini berbatas –
semalam mungkin mimpi
tetapi, hari ini adalah realiti
esok adalah harapan yang tak bersempadan
ini yang pasti; suatu hari nanti
dia akan mati dan dibangkitkan lagi
dalam ruang waktu yang tak pernah membeku.

Muzaf Ahmad
Old Town Prague, Republik Czech

*Saya mendapat ilham menulis puisi ini apabila berjalan-jalan di sekitar Jam Orloj di Old Town Prague. Melihat waktu dan ragam hidup manusia membuatkan saya terfikir, adakah seperti itu saja kehidupan kita akan berakhir; melalui kehidupan dunia sebagai rutin, bukan untuk persediaan menuju ke alam kehidupan abadi..

sentiasa memikirkan detik kematian, yang menjadi rahsia Tuhan..

Ulasan Panel Hakim: Kumpulan Puisi Jaulah Sampai Syurga di Majalah Dewan Sastera

HSPM_puisi

Pendahuluan

Sekretariat  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM) telah menerima sejumlah 51 buah kumpulan (karya secara individu) sebagai penyertaan. Kumpulan puisi ini diterbitkan oleh berbagai-bagai penerbit di Malaysia. Kesemua kumpulan puisi ini dibaca dan dinilai oleh panel penilai di peringkat saringan dengan menggunakan kriteria dan kayu ukur yang telah digariskan oleh pihak Sekretariat HSPM 2014. Setelah membuat pertimbangan dan penilaian yang saksama di peringkat saringan ini, panel memutuskan sebanyak 16 buah kumpulan puisi yang berjaya untuk diangkat ke penilaian di peringkat selanjutnya. Daripada jumlah 16 buah kumpulan puisi yang dicadangkan itu,empat buah dipilih untuk dinilai di peringkat akhir. Judulnya adalah sebagaimana yang berikut ini:-

  1. Jaulah Sampai Syurga
  2. Membelah Bijaksana
  3. Kembali kepada Fitrah
  4. Malakalis

Panel penilai peringkat akhir telah membaca dan menghalusi karya-karya yang terkumpul dalam setiap kumpulan tersebut. Pertimbangan panel ialah subjek karya, bahasa, dan teknik pengucapan.  Panel juga mengambil kira keterangkuman idea yang membentuk sebuah kesatuan karya yang mantap. Panel penilai memutuskan kumpulan  puisi yang berjudul Jaulah Sampai Syurga sebagai layak diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014.

ULASAN KARYA PEMENANG

Jaulah Sampai Syurga karya Muzaf Ahmad

Kumpulan ini mengandungi 51 buah sajak yang dihimpunkan dalam empat bahagian, masing-masing  Saat Melihat Cermin Hakikat ,Tali Ukhuwah yang Dipauti, Tentang Manusia yang Berjuang, dan Berguru dengan Cikgu. Secara umumnya, kumpulan Jaulah Sampai Syurga memuatkan sehimpunan karya yang jernih dan boleh dikatakan bening dari segi pengucapannya. Subjeknya diselimuti nafas keislaman yang halus dan semerbak di mana-mana.Jaulah Sampai Syurga merupakan antologi pengembaraan; Islamik, realistik dan nostalgik. Pandang alamnya konsisten dari mula sampai akhir. Pengisahannya bersifat individualistik sekaligus universal. Puisi-puisi dalam kumpulan ini dapat dinikmati dan dihayati daripada ‘jendela’ yang berbeza. Hal ini merujuk kualiti pengucapan yang sederhana tetapi menuntut renungan; isu persaudaraan tulen sesama insan sebagaimana fitrahnya kejadian manusia. Fitrah manusia suci murni, anjurannya kita kembali kepada fitrah ini, merenung hal-hal yang dianggap kecil dan sering diabaikan padahal ianya formula paling tepat untuk mewujudkan hubungan baik sesama manusia. Isu kesejahteraan hidup sesama insan dan unsur alam yang lain ialah isu universal.

Sejumlah 51 buah puisi yang dititipkan kepada khalayak terungkap dalam bahasa yang puitis, kemas dan padat yang menyelitkan sisi ambiguiti yang menyerlahkan sifat puisi yang indah.  Selain itu, gugusan puisi dalam kumpulan ini digarap sarat kesedaran dan keinsafan tentang makna ukhuwah, dahwah dan pengabdian.

Persoalan ukhuwah membawa makna besar dalam konteks yang sangat luas; manusia belajar dari alam, alam membawa petanda kekuasaan Ilahi, manusia juga belajar dengan manusia; manusia dan seluruh isi alam adalah petanda kekuasaan Maha Pencipta. Manusia menyedari kekerdilan diri berhadapan kekuasaan-Nya; dalam ‘wuduk’ kekerdilan dan kekhilafan diri terpamer, sebagaimana tergambara dalam rangkap ini;

mengapa terlalu jauh

aku hincut berlari

sedangkan rumah-Mu ini

tak berdinding atau berpintu

lagikan sejengkal di depan mataku.

saat kupulas pili taubat

Kau-salirkan air keampunan

keluar menderu-deru ke telapak tangan

untuk kujirusbilas dosa yang berjerebu

di jari, muka, siku, ubun dan kakiku.

Amalan berwuduk sebagai syarat menunaikan solat, membaca al-Quran dan melakukan pelbagai perkara dalam kehidupan  sering dianggap sebagai tuntutan biasa padahal berwuduk mengandungi hikmah yang tiada batasnya, lebih-lebih lagi memberi kebaikan kepada individu yang mengamalkannya. Hikmah amalan berwuduk disisipkan dalam bandingan yang sangat mudah tetapi berkesan. Jagat keampunan yang tiada batasnya anugerah Allah tersisip kemas dalam ungkapan yang berikut;

aku masuk ke pintu Keampunan-Nya

yang luas terbuka

melihat potret silamku tergantung

seperti mengira dosaku yang tak terhitung.

Pengalaman mematangkan manusia; memberi pengajaran baik dan buruk, namun keyakinan tentang lorong-lorong pengalaman jauh lebih bermakna kerana daripadanya muncul kesedaran, kepasrahan dan kepercayaan, perhatikan:

jalan ini telah melorongkan

kepercayaan.

aku akan jatuh

jatuh dan bangkit

jatuh dan bangkit lagi

jika tidak,

hari ini tentu

aku sedang lumpuh

lumpuh

tak

berkaki.

Sebagai sebuah kumpulan,  Jaulah Sampai Syurga dilihat padu. Keseluruhan karya menjuruskan maksud yang terkandung dalam judulnya, yang mengikat kejap idealisme yang diperjuangan pengarangnya. Dalam kesederhanaan gaya pengucapannya, terdapat pemilihan dan penggunaan imej yang berpadanan, penggunaan pelbagai unsur figuratif bahasa bahkan di sana sini, pengarang menyisipkan kata-kata filsafat yang mampu menggugah intelektual pembaca. Falsafah pemikiran yang jernih terpamer dalam banyak puisi, antara contohnya dalam “Titik Perbezaan”;

mengapa dicari titik perbezaan

sedangkan titik persamaanlah

yang mencantum kebijaksanaan

dari kerikil yang memecahbelahkan.

Persamaan dan perbezaan adalah sesuatu yang lumrah. Kejadian manusia yang istimewa setiap satunya adalah petanda kekuasaan Ilahi, dan setiap satunya pula mengandungi hikmah. Justeru, persamaan menemukan manusia dengan kesatuan,  kefahaman, kerukunan dan kebijaksanaan berbanding perbezaan yang memisahkan, memecahkan hubungan baik sesama manusia. Beberapa buah puisi yang khusus berbicara tentang kehidupan getir rakyat Pelestin menyajikan sisi yang berbeza, iaitu sebagai pengajaran yang mematangkan keinsafan, kekaguman terhadap perjuangan dan kepasrahan warganya yang tertindas dan terdera. Di samping itu. rentetan kekejaman di bumi anbiya itu terus menyorot keegoan, kesombongan dunia, kemabukan kuasa dan ketidakpekaan negara-negara jiran Palestin. Jelas, puisi-puisi ini diungkapkan dalam kelembutan dan ketajaman minda serta berimpak  pada khalayak.

Sumber artikel penuh:

http://dwnsastera.dbp.my/?p=1959

Buku Puisi Jaulah Sampai Syurga, pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014

Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya.

Saya tidak pernah terfikir langsung buku pertama kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga dipilih untuk memenangi HSPM. Kategori ini saban tahun dimenangi oleh penulis-penulis mapan Malaysia termasuklah Sasterawan Negara.

Alhamdulillah, Allah lebih tahu. Semoga kemenangan ini menjadi sejarah manis buat JSS.

Terus membaca ‘Buku Puisi Jaulah Sampai Syurga, pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014’