Archive for the 'puisi' Category

Buku Puisi Digital karya Muzaf Ahmad kini di Wattpad!

Screen Shot 2017-12-07 at 9.26.15 AM
“Sajak-Sajak Perang”

Mengumpulkan puisi-puisi saya yang menyentuh soal kezaliman zaman ini (baik kezaliman musuh mahupun sang pemerintah).

Jemput baca puisi saya di Wattpad. Percuma. 
“Follow” saya, insyallah saya akan terbitkan puisi lain, dari semasa ke semasa.

Advertisements

Puisi: PENIUP SERULING MARIONETTE

mari

PENIUP SERULING MARIONETTE

seruling menghasut telinga
peniup seruling memainkan irama
yang dituliskan komposer
angin seruling memadamkan api
lilin mencair di atas tembaga
lalu dia menyalakannya kembali.

‘padamkan semula!’
kata komposer setelah dia menyalakannya
jari-jemari peniup seruling tak selari
angin yang keluar dari rongga kerongkongan
‘lagu apa ini yang kauciptakan?’ soal peniup seruling
ketika komposer menukarkan tembaga dengan emas
lilin cair menyelaputi emas
tiada cara lain lagi; dia menjadi cemas –
emas telah bercampur lilin
bagaimana harus mengasingkannya kembali?

Muzaf Ahmad
Old Town Square, Republik Czech
2015
*Mingguan Malaysia (9 Ogos 2015)

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015/2016

Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015/2016

BUKU KUMPULAN/NOVEL

-Novel
Bukan Orang-Orang
ITBM, 2015
Hafiszah Iszahanid

-Kumpulan Cerpen
Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Gingko
ITBM, 2015
Jasni Matlani

-Kumpulan Puisi
77 Tuju (Siri Ingatan Kepada Kawan)
ITBM, 2015
Zaen Kasturi

-Kumpulan Drama
Saya Dari Tanjung Penaga
DBP, 2015
Marzuki Ali

PUISI ECERAN

1. Puisi Perang di Semerah Padi
Dewan Sastera, Februari 2016
Siti Raihani Mohd.Saaid

2. Berbalah Dengan Kata
Dewan Sastera, Disember 2015
Rudi Mahmood

3. Sengaja Aku Memilih Beza
Dewan Sastera, April 2016
Ratna Laila Shahidin

4. Peniup Seruling Marionette
Mingguan Malaysia, 9 Ogos 2015
Muzaf Ahmad

5. Walau Belum Pernah Tepat
Berita Harian, 14 Ogos 2016
Rosli K. Matari

6. Di Dalam Sebuah Kolam Naluri
(Sajak Pelengkap : Di Atas Badan Seekor Ikan)
Berita Harian, 21 Ogos 2016
Adinata Gus

7. Bahasa
Dewan Sastera, Oktober 2015
Teratai Abadi

8. Mujahadah Takdir Dalam Kesturi Syukur
New Sabah Time, 2 April 2015
Sahara Jais

9. Melati
Dewan Sastera, Disember 2015
Roslan Jomel

10. Di Luar Bingkai Sejarah
Dewan Sastera, Oktober 2016
Hilmi Rindu

CERPEN ECERAN

1. Dia Yang Berlari Kencang Dalam Debu Perang
Berita Harian, 20 September 2015
Mawar Safei

2. Desibel Iman
Berita Harian, 11 Oktober 2015
Nisah Haron

3. Rumah Ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya
Mingguan Malaysia, 4 Januari 2015
Siti Jasmina Ibrahim

4. Rumah
Mingguan Malaysia, 8 Mac 2015
Hazwani Rebecca Ilham Rameli

5. Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari
Dewan Sastera, September 2015
Fahd Razy

6. Cerita-cerita Tentang Lidah
Dewan Sastera, Januari 2016
Hafizah Iszahanid

7. Apis Dorsata
Dewan Sastera, Oktober 2016
Fudzail Nor

8. Air
Mingguan Malaysia, 6 Mac 2016
Malim Ghozali Pk

9. Musim Monyet Mabuk
Berita Harian, 3 April 2016
Zainal Rashid Ahmad

10. Rumah Kupu-Kupu
Berita Harian, 21 Ogos 2016
SM Syed Mohd Zakir
IMG_0053
IMG_0059

sumber: Facebook Hadiah Sastera Perdana Malaysia – HSPM

Puisi: Denting Waktu

shutterstock_428804917
DENTING WAKTU

seorang lelaki termanggu dan menunggu
di atas kerusi, di meja sebuah kedai kopi
di pekan ini, riuh suara tidak diendahkan lagi
dia sekadar menunggu denting waktu –
berharap diberi sepasang sayap di bahu.

sepanjang hayatnya
musim demi musim mengubah
wajahnya, sosoknya, suaranya
sehingga dia sendiri tak menyedari
dia semakin tua dari sehari ke sehari
tetap dia menunggu angka Orloj di menara
tepat jam 12 malam untuk dia menutupkan mata
atau tepat 6 pagi untuk dia celik kembali.

bagaimanakah dia boleh
mengukur waktu yang berlalu?
atau detik yang hilang terbuang?
itulah kali pertama dia merenung
ke dalam jiwa. Dia telah berguling dan lumat
dalam putaran waktu. Bertahun lamanya
dia terasa sesat di ruang semesta. Bukan –
sebenarnya, dia hanya tersesat dalam rimba diri
mencari makna kehidupan hakiki.

dalam denting waktu
dia bangkit dari kerusi dan sedari
ruang waktu ini berbatas –
semalam mungkin mimpi
tetapi, hari ini adalah realiti
esok adalah harapan yang tak bersempadan
ini yang pasti; suatu hari nanti
dia akan mati dan dibangkitkan lagi
dalam ruang waktu yang tak pernah membeku.

Old Town Prague, Republik Czech
* Mingguan Malaysia (20 September 2015)
Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015

Buku Puisi Jaulah Sampai Syurga, pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014

Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya.

Saya tidak pernah terfikir langsung buku pertama kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga dipilih untuk memenangi HSPM. Kategori ini saban tahun dimenangi oleh penulis-penulis mapan Malaysia termasuklah Sasterawan Negara.

Alhamdulillah, Allah lebih tahu. Semoga kemenangan ini menjadi sejarah manis buat JSS.

Terus membaca ‘Buku Puisi Jaulah Sampai Syurga, pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014’

Tempahan Buku Jaulah Sampai Syurga & Syahid ke Syurga

gambar promo tempahan buku

Alhamdulillah, November ini ada kejutan buat buku pertama saya, Kumpulan Puisi Jaulah Sampai Syurga. 25 November ini.

Insyaallah, dalam masa terdekat, Kumpulan Puisi Jaulah Sampai Syurga akan masuk cetakan ke-3 dan buku kedua saya, Kumpulan Cerpen Syahid ke Syurga cetakan pertama akan muncul.

Untuk tempahan, isi borang di bawah.
https://docs.google.com/…/1fmHmCAwb4dC1u8Sn3BEcw8L…/viewform

 

Puisi ‘Jaulah Sampai Syurga’ pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2014

jss

Jaulah Sampai Syurga

sahabat,
kita lahir dari tanah berbeza
tetapi dari sekepal salju ini,
segala sempadan akan mencair –
kerana kita telah berjanji 
berjaulah sampai ke syurga abadi
telah kita berjanji 
untuk mencari reda Ilahi.

beginilah perjalanan jaulah
merentas ratus ribu sempadan 
dinasti dan waktu 
laut dan benua
ribut dan salju –
di kepala Takao atau dahi Jingshan
kita adalah degup roh 
yang berdenyut dalam jasad ummah
lalu hati kita terserap ke langit 
menggugurkan huruf-huruf iman
dan putih kalimah syahadah.

hari-hari Hachioji bersamamu sahabat,
salju di luar tingkap semakin melebat
di sini walau kita terkandas
tetap kita menongkah gigil
jangan dipeduli ribut gelisah yang membuas 
kerana hangat ukhuwah akan segera meredakan.

bibir tidak perlu berbicara 
bukankah jiwa-jiwa kita lebih merasa –
cukuplah selengkung senyum 
dan setentang mata 
itulah yang mengucapkan segalanya
dan percayalah sahabat,
waktu, benua dan salju adalah sempadan
yang tidak pernah memisahkan 
kerana kita telah lama berjanji
bertemu dan berpisah kerana Ilahi.

Takao, Hachioji
Februari 2014

*****

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t.

Tiadalah daya dan upaya saya. Masih teringat detik saya menulis puisi Jaulah Sampai Syurga sekitar awal tahun 2014.
Entah mengapa musim sejuk Disember 2013 – Februari 2014 begitu menerkam. Program Fuyu Gathering 2013 anjuran persatuan AMIR, jaulah ikhwah dari China, dan pelbagai peristiwa begitu menghangatkan jiwa yang hampir-hampir membeku dengan tarikan keduniaan.

permintaan akh Hafizan sewaktu kami berpisah di Shibuya: “tulis sajak satu..”

Sebenarnya saya jarang menulis, melainkan ada sesuatu yang ingin saya kongsikan atau jika ada kenalan yang meminta saya menulis sesuatu. Begitulah cara saya menulis. Ia akan terbit dari rasa yang mengalir. Kadangkala akan mengalir sederas-derasnya.

Alhamdulillah, tidak sangka tiga karya saya sepanjang 2014 tersaring ke peringkat akhir setelah ditapis panel hakim:

  1. Cerpen: INDRASYAWAL, Mingguan Malaysia (3 Ogos 2014)
  2. Puisi: Biarkan Danbo Terpadam, Mingguan Malaysia (26 Jan 2014)
  3. Puisi: Jaulah Sampai Syurga, Mingguan Malaysia (7 September 2014)

Dan dengan izin Allah, puisi Jaulah Sampai Syurga telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2014 kategori puisi eceran. Terima kasih buat panel hakim yang sudi menilai kesemua karya-karya ini. Semoga puisi ini terus memberikan semangat yang tinggi untuk diri saya sendiri dan ikhwah akhwat sekalian untuk terus berjuang di jalan dakwah dan tarbiah yang panjang dan berliku ini. Terima kasih buat sahabat-sahabat dan murabbi yang selalu mendoakan yang terbaik. Semoga kita terus tsabat di jalan ini.

Fakta tentang puisi Jaulah Sampai Syurga:
1. Puisi ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun (Tengoku e no michinori) dan bahasa Mandarin (Luyou Dao Tiantang).
2.  Puisi ini menjadi tajuk buku kumpulan puisi yang diterbitkan pada November 2014.